arabic

Ustaz Badrul Fata Muhammad Ridwan

Pengajaran bahasa Arab bagi pelajar di luar negara Arab merupakan pengajaran yang rumit dan mencabar. Antara sebabnya  adalah kerana tidak adanya persekitaran yang boleh membantu penggunaan dan pengembangan bahasa tersebut. Ini dirumitkan lagi dengan bahan pengajaran yang sangat terhad.

Sejak beberapa tahun terakhir, para pakar Bahasa Arab di negara Saudi Arabiah, Sudan, Mesir dan lain-lain telah banyak membuat kajian bagi mencari metode dan bahan-bahan pengajaran yang sesuai bagi mengatasi masalah tersebut. Kitab-kitab seperti al-Arabiah li al-Nasyiin, al-Arabiah Bain Yadaik dan lain-lain, merupakan buku yang ditulis melalui pendekatan baru dengan mengambil kira pendekatan pengajaran bahasa Arab sebagai Bahasa Asing. Buku tersebut telah banyak digunakan di beberapa Negara, termasuk di negara-negara nusantara ini. Namun demikian kita dapati masih banyak kesulitan yang masih belum dapat diatasi oleh para pendidik kerana kandungan buku tersebut yang kurang sesuai untuk pelajar di Nusantara, terutama sekali bagi pelajar di peringkat rendah.

Di Nusantara, pengembangan pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa Asing juga telah berkembang dengan pesatnya di beberapa negara seperti  Malaysia dan Indonesia. Tetapi pengembangannya hanya di peringkat Universiti, seperti yang terdapat di Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) Bangi dan Universitas Islam Negeri (UIN) Malang Jawa Timur.

Di peringkat rendah, menengah dan Pra-U, belum ada pengembangan yang mencukupi, sehingga pengajaran Bahasa Arab masih banyak mengikut sistem lama yang lebih cenderung mengikut metode nahu dan terjamah. Kalaupun ada pengembangan metode pengajaran, ianya hanya setakat pengembangan dari segi teori yang masih susah diimplementasikan.

Selain kerana tidak ada bahan yang sesuai, antara sebab bidang  ini masih terus rumit adalah kerana para pengkaji dalam bidang ini kebanyakannya adalah dari kalangan pensyarah universiti yang tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam pengajaran bahasa Arab di peringkat rendah.

Kurikulum Fitrah Al-Arabiah lil-Mubtadiin ini merupakan kurikulum yang dibangunkan mengikut pendekatan metode pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa Asing untuk kalangan pelajar peringkat rendah dengan mengambil kira pandangan para pakar bahasa asing dan maklum balas para guru. Kandungannya pula disesuaikan untuk kawasan Nusantara.

Untuk memaksimakan penggunaan buku Fitrah Al-Arabiah lil-Mubtadiin, selain dari buku panduan guru lengkap , para guru dari sekolah-sekolah yang akan menggunakannya akan dibekalkan dengan bengkel pengajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing dan cara menggunakan buku tersebut.

Mudah-mudahan segala usaha ini dapat mempermudahkan lagi pengajaran bahasa Arab dan meningkatkankan lagi kualiti Bahasa Arab, terutamanya di peringkat rendah, insya Allah.

Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *