fun-arabic

Ustaz Idham Halid Romli

Seorang anak tidak pernah gagal dalam mempelajari bahasa ibunda dan bahasa lingkungannya. Kanak-kanak melayu akan bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik ketika mencapai usia boleh bercakap. Bahkan kanak-kanak Cina Indonesia mahir bercakap Jawa kerana dibesarkan oleh ibunya dan keluarganya yang hanya menggunakan bahasa Jawa, begitu juga sebaliknya.

Benar Sabda Rasulullah saw. bahawa setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu-bapanya yang akan mewarnainya untuk menjadi Yahudi atau Nasrani. Begitu juga dengan bahasa, ibu-bapa yang akan menentukan bahasa yang seorang anak mahir bercakap dengannya. Seorang anak bukan hanya boleh belajar satu bahasa, bahkan seorang anak mampu bercakap 2-3 bahasa jika secara konsisten sejak kecil dia dilatih berkomunikasi dengan beberapa bahasa yang berbeza.

Jadi jika kita ingin berjaya dalam mengajarkan bahasa kepada seseorang, maka kita tidak boleh lari daripada menerapkan pendekatan pembelajaran bahasa ibunda dalam proses belajar dan mengajar. Sebab secara semula jadi begitulah seorang anak belajar bahasa dan itu juga fitrah seorang ibu mengajar anaknya berbahasa. Maka penting untuk diketahui apa sahaja unsur-unsur penting yang ada dalam pembelajaran bahasa ibunda dan diterapkan unsur-unsur tersebut dalam pembelajaran bahasa asing dalam bilik darjah. Jika tidak, maka kemungkinan untuk gagal amat besar sekali. Bahkan kalaupun berjaya, akan berlaku kepincangan dalam menguasai ke empat-empat kemahiran berbahasa; iaitu mendengar, bercakap, membaca dan menulis.

Mustahil untuk menerapkan kesemua aspek pembelajaran bahasa ibunda ke dalam bahasa asing yang diajarkan dalam bilik darjah. Tetapi paling tidak, ada beberapa pendekatan dan prinsip asas yang wajib diterapkan dalam kelas, agar pembelajaran bahasa tersebut berjalan secara fitrah dan mengikut konsep pembelajaran bahasa ibunda.

Pertama: Pembelajaran bahasa ibunda dilaksanakan dengan cara semulajadi dan berlaku dengan begitu sahaja. Perhubungan dan interaksi seorang anak dengan ibu-bapanya dan ahli keluarga yang lain, secara semulajadi akan mengajarkan kepadanya kemahiran berbahasa. Tanpa disedari, setelah melalui pembelajaran semulajadi, seorang anak akan mula mampu memahami bahasa ibu-bapanya dan kemudian akan cuba digunakan bahasa tersebut bagi mengungkapkan perasaan dan keperluan hariannya. Bagaimanapun, pembelajaran bahasa asing di dalam bilik darjah sangat keterbelakang. Pada kebiasaaanya ianya dilakukan secara sengaja dan dirancang, bahkan terkadang dilakukan oleh seseorang pelajar secara terpaksa. Oleh yang demikian, sangat penting bagi kita menyerapkan pembelajaran semulajadi yang berlaku dalam pembelajaran bahasa ibunda ke dalam bilik darjah sehingga pembelajaran bahasa baru yang ingin dipelajarinya berjalan semulajadi dan fitrah.

Bermain sambil belajar, berlakon sambil belajar, bernyanyi sambil belajar, beraktiviti sambil belajar, bersukan sambil belajar adalah sangat penting untuk diterapkan dalam bilik darjah. Ianya akan menjadi perantara untuk menghidupkan pembelajaran semulajadi antara seorang pelajar dengan guru dan rakan-rakan sekelasnya. Dengan demikian, pembelajaran yang awalnya bersifat sengaja, kaku, bahkan terpaksa, berubah menjadi pembelajaran yang menyeronokkan dan bergairah. Tiada yang lebih indah bagi seorang pelajar ketika berada dalam bilik darjah daripada merasakan bahawa seakan-akan mereka tidak belajar padahal sebenarnya mereka telah belajar dengan lebih baik dan berkesan.

Insya Allah pada artikel mendatang akan kami bincangkan prinsip kedua dalam pembelajaran bahasa fitrah.

Salam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *